Sahabat Media - Kellies Castle - Royal Belum Rain Forest, Perak
“Jika sebelum ini, Sahabat Media Cuti Cuti 1Malaysia
(SMCC1M) telah berkampung di Cherating, Pahang, kali ini SMCC1M menyelongkar
khazanah Taman Negeri Royal Belum yang menyimpan sejuta rahsia menjadikan ia
hutan hujan yang tertua di dunia".
Sahabat Media Cuti Cuti 1Malaysia bertolak seawal jam
tujuh pagi dari MaTic untuk ke Belum Rainforest Resort. Tepat jam 11 pagi,
rombongan kami singgah di Kellie’s Castle. SMCC1M disambut oleh Pengurus Besar
Kellie’s Castle, Encik Zamari bin Muhyi. Destinasi pelancongan warisan ini
ternyata membuatkan setiap peserta kagum dengan keindahan senibina istana ini
yang turut menjadi simbol kepada satu kisah cinta yang romantis. Sebelum
menjamu selera, peserta SMCC1M sempat
diberikan penerangan serba sedikit mengenai sejarah Kellie’s Castle sebelum
meneruskan perjalanan ke Belum
Rainforest Resort.
Pelancongan Eko Belum Rainforest Resort
Segala yang berhubung kait dengan eco, bagaikan sesuatu yang cukup asing bagi warga
tempatan. Namun usaha Tourism Malaysia dan Belum Rainfores Resort yang dinaungi
oleh Kumpulam EMKAY dalam mempromosikan
aktiviti berasaskan alam semula jad ini seharusnya dipuji. Apa yang pasti
Pelancongan Eko memerlukan lebih usaha tetapi hakikatnya pelancongan eko lebih
menarik dan mencabar.
Daripada 25 juta kehadiran pelancong pada 2012, jelas
kurangnya tarikan mereka ini ke arah pelancongan eko. Belum – Temenggor
merupakan destinasi paling ideal untuk menarik pelancong ke arah ini. Pelancong
boleh memilih sama ada untuk melalui denai hutan untuk berkhemah dalam hutan
ataupun memancing. Tepuk dada tanya selera. Pelancongan eko adalah trend baru
hari ini. Dunia sekarang, manusia mulai mencari jalan untuk menyelamatkan alam
sekitar. Hasilnya terjadilah pelancongan eko yang bermula pada awal tahun
1980-an. Cuma baru-baru ini ia semakin popular di kalangan pengembara.
“Pelancongan
lestari telah dibangunkan dan segala aktiviti pelancongan harus dijaga dalam
apa cara sekalipun untuk mengekalkan sumber warisan kita,” kata Tan Sri Datuk Dr Haji Mustapha Kamal
yang ditemui di Belum Rainforest Resort.
Belum – Temenggor dipercayai telah wujud lebih daripada 130
juta tahun dahulu, menjadikan ia lebih tua dari Hutan Amazon. Di tengah-tengah
hutan ini adanya tasik buatan manusia yang meliputi kawasan seluas 15,200
hektar. Belum – Temenggor terbahagi kepada dua bahagian hutan simpan iaitu
Belum dan Temenggor. Ia terletak di negeri Perak sehingga ke selatan Thailand.
Belum terletak di utara sempadan Malaysia – Thai manakala Temenggor di selatan
Belum.
“Pelancongan eko
sesuai untuk individu yang sukakan alam semulajadi. Ia seperti kembali semula
kepada asal dan menghargai apa yang ada di sekeliling kita,” kata Chandra
Arumugam, yanng merupakan antara 'orang kuat' Green Ranger (Ranger Alam)
Jom Jadi Ranger Alam
SMCC1M berpeluang mengikuti program Green Ranger di Belum
Rainforest Resort. Program ini bermula sejak bulan Mei 2013. Untuk menyertai
program 3 hari 2 malam ini hanya perlu mengikuti pakej yang bermula pada harga
RM400. Terdapat lima buah chalet dan dorm yang boleh memuatkan sehingga 50
orang. Sepanjang kami berada di sini, kami dapat mempelajari pelbagai ilmu
baharu yang tidak ada di dalam buku teks.
Menerusi program ini, layanan mesra yang diterima di
Belum Rainforest Resort dan pengalaman menjadi Green Ranger menjadikan
peserta-peserta yang terdiri daripada wakil media massa lebih dekat dengan alam
semula jadi.
Jika anda ingin
melawat Royal Belum dan menyiasat keistimewaan hutan hujan Belum – Temenggor,
program Green Ranger menawarkan satu pengalaman serba baru. SMCC1M dibawa
melihat habitat hidupan-hidupan liar dan tumbuhan-tumbuhan liar yang belum pernah
dilihat sebelum ini. Para pelancong boleh memilih beberapa pakej yang
disediakan untuk menyertai ekspedisi ini.
Menjiwai Alam Semulajadi
Peserta SMCC1M juga berpeluang melawat taman herba yang
terletak berdekatan Belum Rainforet Resort. Kami juga dibawa berjalan di laluan
Banding Forest Trail untuk tujuan pembelajaran. Laluan semulajadi ini
membenarkan kami merasai sendiri pengalaman dan apa yang akan dirasai apabila
memulakan eksplorasi ke Royal Belum.
Pelbagai spesies serangga unik dan burung-burung eksotik
berwarna-warni dilihat menjadikan hutan hujan ini sebagai habitat mereka. Semua
ini tidak akan dapat dilihat di kota-kota metropolitan. Peserta juga diajar
mengenai kepelbagaian jenis-jenis burung dan serangga yang terdapat di sini.
Kami dimaklumkan bahawa terdapat spesis burung Enggang yang semakin pupus iaitu
Plain-pouched Hornbill boleh ditemui di sini. Spesies ini adalah yang paling
sukar dijumpa di antara 10 jenis spesis burung Enggang di Malaysia. Satu lagi
burung Enggang yang hanya boleh ditemui di sini adalah Great Hornbill.
Untuk menghayati alam semula jadi di sini, kami berpeluang menginap di Banding
Base Camp. Jika anda ingin melakukan aktiviti rekreasi air resort ini
menyediakan aktiviti kayak sambil mengelilingi pulau-pulau di Belum. Kadar
sewanya hanya RM30 untuk sejam. Jika inginkan sedikit kelainan, rakit juga
disediakan untuk mereka yang gemarkan cabaran. Walaupun kami cuma berada di
sini untuk tempoh 3 hari 2 malam namun ia ternyata menguji fizikal dan mental
peserta. tapi Kenangan terindah begini bukan mudah didapati. Apa yang penting
ialah semangat kerjasama dalam kalangan peserta nyata terserlah pada setiap
aktiviti yang dijalankan. Rasanya tidak puas menerokai Royal Belum. Apa yang
pasti satu hari nanti SMCC1M pasti kembali sebagai seorang Green Ranger.
Sebelum peserta berangkat pulang ke Kuala Lumpur, semua
peserta telah diraikan dalam satu majlis penutup dan penyampaian sijil yang
telah disempurnakan sendiri oleh Pengerusi Kumpulan EMKAY dan pengasas Green
Ranger, Tan Sri Datuk Dr Hj Mustapha Kamal. Kehadiran tokoh korporat terkemuka
negara ini jelas menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan beliau terhadap
kelestarian alam semula jadi negara.
2 comments