Nestlé Sokong Kecelikan Braille Sumbang RM45,000 kepada Masyarakat Cacat Penglihatan

by - February 14, 2019

Selaras dengan matlamat Nestlé Malaysia untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih sihat, syarikat baru-baru ini menyumbang bahan bacaan Braille bernilai RM45,000 kepada Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM). Bahan bacaan yang bersamaan 1,000 buku itu akan membantu 500 kanak-kanak buta dan cacat penglihatan.



Pn. Nirmalah Thurai, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat, Nestlé Malaysia berkata, “Kami amat komited untuk membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka yang memerlukan. Sebagai sebuah syarikat yang menyokong keterangkuman dan kepelbagaian budaya, kami percaya bahawa setiap insan sewajarnya diberi peluang yang sama untuk membaca dan menulis, termasuk golongan buta. Kecelikan braille adalah satu komponen penting dalam pendidikan kerana kemahiran ini membuka pintu dan menambah peluang untuk orang buta dan cacat penglihatan. Kami berharap sumbangan ini dapat membantu menambah baik kadar celik huruf dalam kalangan orang buta dan cacat penglihatan di Malaysia.”



Menurut En. Silatul Rahim Dahman, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama YOBM, “Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Nestlé Malaysia kerana bermurah hati memberi sumbangan ini dan sekian lama menjadi penyokong kuat masyarakat buta. Sumbangan ini pasti akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat kami, terutama sekali kanak-kanak. Di YOBM, kami percaya bahawa pendidikan boleh memutuskan kitaran diskriminasi dan kemiskinan, dan buku-buku ini pasti akan memberi peluang kesaksamaan kepada masyarakat kami.”

You May Also Like

0 comments